Thursday, September 06, 2012

Teater Tun Dr. Siti Hasmah dipentaskan 9 Nov ini

Pastinya ramai yang sudah mengetahui tentang pementasan Teater Tun Dr. Siti Hasmah yang pernah tertangguh sebelum ini serta penarikan diri Adlin sebagai pengarah dan Erra Fazira selaku pelakon utama.

Dalam satu sidang akhbar hari ini yang berlangsung di Istana Budaya, satu tarikh baru telah diumumkan dan pementasan teater terbitan World Islamic Network Televisyen Sdn. Bhd. itu bakal dipentaskan pada 9-19 November ini.

Selain pengumuman tarikh terbaru itu, turut diumumkan dua orang pelakon yang akan membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah iaitu Lisa Surihani (Tun semasa muda) dan Datin Sofea Jane (Tun semasa era menjadi isteri Perdana Menteri.

Turut berlakon dalam teater tersebut adalah Nazim Othman dan Esma Daniel yang akan membawakan watak sebagai Tun Dr. Mahathir.

Tun Dr. Siti Hasmah turut hadir pada sidang media yang berlangsung
di Istana Budaya pagi tadi.

Nurul Syuhada ambil keputusan letak jawatan

Setelah terpalit dengan isu kontroversi sebelum ini, akhirnya pengacara dan wartawan penyiaran TV3 mengambil keputusan untuk me letak jawatan sebagai kakitangan tetap stesen berkenaan.

Bercakap kepada para wartawan sewaktu majlis rumah terbuka Media Prima hari ini, Nurul menegaskan keputusan yang dibuat tidak berkaitan langsung dengan isu berkenaan memandangkan dia sudah menghantar surat perletakkan jawatan sebulan lalu.

Nurul memberi alasan untuk berehat dan memberi fokus kepada keluarga serta berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana selepas ini.

Biarpun tidak lagi menjadi kakitangan tetap, namun pengacara yang popular menerusi rancangan Nona dan Majalah Tiga ini akan menjadi pengacara separuh masa di TV3 untuk rancangan Malaysia Hari Ini.

Nurul Syuhada mendirikan rumah tangga dengan Raja Amir Syah pada Julai
tahun lalu (credit gambar: Facebook Nurul Syuhada).

Wednesday, September 05, 2012

Gambar tunang Diana-Farid eksklusif untuk satu akhbar sahaja

Pastinya ramai sudah tahu pelakon cantik Diana Danielle yang sudah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya yang juga pelakon Farid Kamil pada hari Ahad lalu.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem animasi Supersquad pagi tadi Saloma Bistro, Diana sempat menceritakan detik bahagianya bersama rakan-rakan wartawan apabila kini sudah menjadi tunangan orang.

Namun, apa yang agak mengecewakan apabila pelakon itu menolak permintaan wartawan untuk memberikan beberapa keping gambar semasa majlis pertunangan tersebut, dengan alasan gambar-gambar tersebut eksklusif untuk sebuah akhbar sahaja. Rasanya pasti ramai yang sudah dapat agak akhbar yang mana satu dapat hak eksklusif itu...

Diana Danielle terbabit dengan penerbitan filem animasi berjudul Supersquad (credit
gambar: facebook.com/supertots).

Monday, September 03, 2012

Siti Nordiana sedia berkahwin semula

Tiga tahun bergelar sebagai ibu tunggal setelah berpisah dengan bekas suaminya, allahyarham Faizal Yusop, ternyata Siti Nordiana dilihat mampu mengharungi kehidupan dengan penuh tabah.

Menariknya, menerusi kenyataan di akhbar Harian Metro hari ini, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran itu mengakui sudah bersedia untuk berumah tangga semula.

Jelas pelakon kelahiran Negeri Sembilan itu lagi, buat masa ini dia sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka bujang yang cuma dikenali sebagai 'A', tetapi belum bersedia mendedahkan identiti jejaka tersebut.


Siti Nordiana sudah mula berhijab sejak bulan Ramadan
pada tahun lalu.

Razali Hussain kesal kontroversi membabitkan dirinya

Melihatkan kepada lambakan pelakon tempatan, ternyata Razali Hussain antara pelakon lelaki yang rasanya wajar diberikan pujian kerana sering menampilkan mutu lakonan yang mantap.

Sejak muncul sebagai juara rancangan Audition musim ke-2 beberapa tahun lalu, Razali terus mengorak langkah untuk bergelar anak seni. Malah, ramai yang tidak tahu pelakon itu berbakat dalam nyanyian dan pernah menghasilkan sebuah album dua tahun lalu.

Namun begitu, menerusi akhbar Kosmo! hari ini, Razali mengakui kerjayanya sedikit terjejas apabila terpalit dengan beberapa cerita kontroversi. Antaranya, dia dikatakan mempunyai hubungan dengan wanita berusia dan seorang lelaki gay.

Menjawab kontroversi berkenaan, Razali menyatakan dia dan wanita tersebut langsung tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa. Manakala tuduhan gay pula berpunca kerana dia masih lagi tidak berumah tangga meskipin usianya sudah mencecah 36 tahun.

Razali memulakan karier seni pada usia yang agak lewat
iaitu ketika berusia 29 tahun.

TV3 catat rating tertinggi program raya

Stesen TV3 terus mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengekalkan kedudukan kukuh dengan catatan rating tertinggi mengatasi saluran tempatan lain sepanjang sambutan Syawal bermula 18-26 Ogos 2012 lalu.

Memeriahkan lagi sambutan perayaan stesen berkenaan menyiarkan koleksi program menarik merangkumi filem-filem blockbuster, telefilem, hiburan, variasi dan dramedi terbaik untuk tontonan semua yang menampilkan tagline “Terbaik Raya” serta saluran pilihan utama rakyat Malaysia malah berjaya menambat hati penonton apabila menguasai 98 program daripada 100 program teratas carta.

Pertama kali ditayangkan secara eksklusif di kaca televisyen pada malam Raya ke-2, filem terbitan Excellent Pictures arahan Ahmad Idham, Mael Lambong berada di tangga teratas senarai program popular Raya apabila ditayang seramai 2.8 juta penonton. Manakala 4 filem yang turut disiarkan pada minggu pertama Raya seperti Jangan Pandang-Pandang, RA One (filem Hindi), Vanila Coklat Raya dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2 juga mendapat sambutan hangat apabila lebih 2 juta penonton tidak melepaskan peluang menontonnya.

Telemovie istimewa Apa Celop Raya yang menghiasi slot prime time malam menjelang Raya turut meninggalkan impak yang hebat apabila berjaya meraih lebih 1.8 juta kadar penontonan. Tidak ketinggalan, beberapa  program muzikal Raya  seperti Ziana, Amy & Erra termasuklah rancangan variasi seperti Bola Pun Raya, Senario Sayang Ayah, dramedi 48 Jam dan Melodi Raya juga mencatat kadar tontonan melebihi 1 juta penonton.


Seramai 2.8 juta penonton yang menonton filem Mael Lambong ketika
 ditayangkan di TV3 pada Hari Raya ke-2.

Peluang menang sehingga RM70,000 menerusi peraduan Ceria Xtra Itu Aje

Sebagai stesen radio yang semakin meningkat naik, Suria FM tidak ketinggalan menganjurkan pelbagai program menarik. Terbaru, para pendengar berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM70,000 menerusi peraduan 'Ceria Xtra Itu Aje' bermula 3-28 September 2012 menerusi segmen Ceria Pagi Di Suria FM.

Untuk mengambil bahagian dalam peraduan ini, pendengar hanya perlu dengarkan Suria FM, tunjukkan kehebatan dalam meneka nama penyanyi dan tajuk lagu bagi petikan lagu yang dimainkan dan jika betul, wang tunai berjumlah RM388 boleh dimenangi. Wang tunai itu akan meningkat dan terus meningkat jika jawapan yang diberikan salah. 


Pendengar hanya perlu mendaftar sekali sahaja, dengan menghantar SMS, taip suria <jarak> xij <jarak> nama dan hantarkan ke 33988. Pengirim SMS yang terpilih akan dihubungi oleh penyampai untuk menyertai ‘Ceria Xtra Itu Aje’.


Selain itu, jika pendengar berada di dalam WAKTU BONUS, hadiah XTRA menanti pendengar setia iaitu tiket penerbangan ke destinasi terpilih. Pembayang akan diberikan pada bila-bila masa di udara oleh para penyampai, melalui Twitter Suria FM, Facebook Suria FM, laman web dan juga SMS.